Pengikut Setiaku :)

Monday, April 2, 2012

~Teringatkan Abah ~



Ku mengintai ke luar jendela. Melihat cuaca pada hari ini mendung. Titisan hujan mencurah-curah dari langit. Jalan-jalan raya di hadapan rumahku dibasahi. Sekali-sekala beberapa buah kereta berderu laju di atasnya. Air memercik. Sejuk.

Aku. Masih di sini. Melihat dan terus melihat. Berfikir tentang bukan apa yang aku lihat. Tetapi berfikir akan sejarah lalu yang kembali ku ingat. Saat bersama dengan keluarga yang tercinta. Menjalani detik-detik bahagia, ceria dan mesra bersama mereka.

Wajah abah datang. Membuatkan segala pesan abah terus terngiang-ngiang di fikiranku. Aku akur. Percaya akan segala nasihat itu mempunyai maksud yang mendalam. Yang bukan untuk melihat masa depan aku menemui kegagalan. Tetapi sebuah kejayaan yang sebenar. Yang bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Aku teringat semua itu.

Sewaktu aku kecil, aku selalu dimarahi abah. Kenapa tidak abang?  kenapa aku? Hinggakan aku pernah berasa bahawa akulah anak yang malang dalam keluarga. Rasa bagaikan mahu lari dari rumah. Mahu ditinggal segala kesusahan dan musibah ini untuk pergi mencari kebebasan.

Sewaktu aku kecil, aku rasa bagaikan akulah punca segala-galanya. Kerana sikapku yang buas, aku tidak mampu mmbahagiakan guru-guru. Kerana sikapku yang tidak pernah memperdulikan perasaan guru, pelajaranku hanya berpusing di sekitar pelajar tercorot.

Kerana sikapku yang tidak mementingkan pelajaran, aku hanya mampu berbangga dengan keputusan kawan.

“Abah! Anis tu, waktu periksa pertengahan tahun dia dapat nombor satu, waktu akhir tahun pun dia dapat nombor  satu.” Aku tersenyum bangga. Kerana Anis itu kawan baik aku di sekolah rendah.
Abah diam lama. Kemudian bersuara.

Buat apa bangga dengan keputusan kawan kalau keputusan sendiri tidak cemerlang? Sepatutnya kena tanya.. kenapa keputusan kita tidak sama dengan keputusan kamu?” Kata abah. Bersederhana tinggi suaranya.

Aku terdiam. Dan ketika itu aku sedar. Bahawa hati abah rawan dengan sikapku. Dengan keputusan yang kuperolehi itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa selama ini, aku langsung tidak memperdulikan pelajaran. Itulah salah satu pesanan abah ketika umurku mahu mencecah sepuluh tahun.

Dewasa kini, aku kembali mengimbau semua itu. Marah abah. Rotan abah. Puji abah. Gurau abah. Perihatin abah. Tanggungjawab abah. Semuanya bersebab. Semuanya mempunyai tujuan. Semestinya untuk kebaikan diriku jua.

Tinggal kadang-kadang, aku sahaja terasa bahawa abah tidak menyayangiku.  Moga satu hari, diri ini mampu membuat abah bangga .

al-fatihah buat mu abah :')

1 comment:

  1. Al-fatihah .. -syg,la tahzan..semuanya ada hikmat disebalik apa yg berlaku skrng ni ok ..

    ReplyDelete